Laksana peningkatan potongan caruman majikan, pengeluaran berkala - Utusan Malaysia

Laksana peningkatan potongan caruman majikan, pengeluaran berkala

SHAMSHUL ANAZ KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan perlu tegas dan segera melaksanakan modul atau polisi baharu membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan potongan majikan sekurang-kurangnya 15 ke 20 peratus yang dilihat relevan dengan situasi semasa.

Dalam masa sama, salah satu polisi baharu yang dilihat sesuai dilaksanakan adalah pengeluaran secara berkala apabila pencarum mencapai usia persaraan bagi mewujudkan disiplin pengurusan perbelanjaan sekali gus mampu memberi keselesaan di usia emas mereka.

Sebagai contoh, pengeluaran pada usia 55 tahun sebanyak 30 peratus dan diikuti pengeluaran seterusnya secara berkala bagi membolehkan pesara menjalani kehidupan lebih selesa dengan perbelanjaan lebih berdisiplin sekurang-kurangnya sehingga usia 80 tahun.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, caruman sebanyak 20 peratus daripada majikan dilihat ideal pada masa kini.

Katanya, secara amnya jika mengikut potongan tersebut selain caruman pekerja, mereka yang bergaji antara RM5,000 dalam tempoh 20 tahun bekerja sudah mampu mencapai simpanan sehingga RM500,000.

Jelasnya, yang bergaji RM10,000 secara teknikalnya juga sudah boleh mencapai RM1 juta simpanan dalam tempoh tersebut.

Katanya, kerajaan perlu segera melaksanakan polisi potongan 20 peratus itu dan secara tidak langsung boleh melihat sejauh mana syarikat atau majikan mampu mendukungnya.

Jelasnya, potongan semasa ketika ini ialah majikan sebanyak 13 peratus dan pekerja 11 peratus dengan jumlah caruman setakat Disember 2022 ialah sebanyak 15.72 juta dan aktif sebanyak 8.39 juta ahli membabitkan sejumlah 598,268 majikan setakat tempoh itu.

“Kalau kita lihat laporan hanya empat peratus pencarum mampu hidup selesa selepas bersara ia merupakan situasi sangat kritikal. Polisi berkenaan perlu segera dilaksanakan bagi menjamin keselesaan pesara di usia emas nanti dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini.

“Selain itu, disiplin dan gaya hidup berdasarkan kemampuan harus dititikberatkan dalam pengurusan kewangan dan pengeluaran secara berkala itu juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, daripada 15.72 juta ahli KWSP, hanya empat peratus atau 400,000 pencarum yang mampu bersara selesa dengan memiliki simpanan RM600,000 dan ke atas.

Menurut laporan tahunan KWSP, seramai 165,000 individu mempunyai simpanan sebanyak RM600,000 ke atas, 40,000 (RM600,000 ke RM700,000), 27,000 pencarum (RM700,000 ke RM800,000), 20,000 pencarum (RM800,000 ke RM900,000), 14,000 pencarum (RM900,000 ke RM1 juta) dan lebih 63,000 pencarum memiliki simpanan RM1 juta ke atas.

Laporan itu juga mendapati kira-kira 96 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar-bandar utama di Lembah Klang.

Antara puncanya gaji permulaan pencarum yang sangat rendah sebelum gaji minimum dilaksanakan pada 2013 dengan 44 peratus pencarum ketika itu mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 manakala 81 peratus mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000.

Tambah Shamshul, menjadi kebiasaan apabila individu menerima sejumlah duit yang banyak sekali gus akan menyebabkan perbelanjaan melebihi had.

Jelasnya, disebabkan faktor tersebut, pengeluaran secara berkala itu juga perlu dipertimbangkan sebagai salah satu polisi baharu yang boleh diperkenalkan oleh KWSP.

“Dalam tempoh mendatang ekonomi akan semakin mencabar dan kos perbelanjaan juga akan semakin meningkat yang memerlukan pesara memerlukan simpanan yang ideal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya