Lagu Raya lama lebih melekat di jiwa pendengar - Utusan Malaysia

Lagu Raya lama lebih melekat di jiwa pendengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESAR pengaruh lagu Hari Raya lama kepada sambutan Aidilfitri. Benarlah mereka yang berpendapat, tanpanya, tak berhari raya, atau tak meriahlah sambutan Syawal kita.

Himpunan lagu-lagu Hari Raya, antaranya Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Aidilfitri (Sanisah Huri) dan banyak lagi menjadi lagu-lagu yang wajib diputar di corong radio dan disiar di televisyen. Ia perasa yang menghidupkan suasana.

Bukan mahu menidakkan impak lagu-lagu baharu, tetapi memang hakikatnya lagu-lagu Raya lama lebih menghadirkan rasa dan kekal zaman berzaman.

Perkara itu diakui penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain. Baginya, lagu-lagu Hari Raya meninggalkan nostalgia dan kenangan tersendiri.

“Susunan, melodi, penyanyi, serta lirik lagu Hari Raya ‘melekat’ dalam minda dan jiwa pendengar.

“Ia diperdengarkan sejak turun temurun, satu generasi ke generasi yang lain. Bagi yang menyimpan cakera padat atau kaset, mereka akan sentiasa putarkan tatkala penghujung Ramadan, menjelang Hari Raya atau sepanjang Syawal.

“Lagu-lagu tersebut tidak boleh dipadam kerana ia kekal dalam memori kita. Manakala lagu-lagu baharu pula lebih kepada kehendak generasi kini. Kita pun tak tahu bagaimana pula rentaknya lagu Hari Raya pada generasi yang akan datang,” katanya.

Ziana berkata demikian usai konsert Raya Sepanjang Zaman yang dipentaskan di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, baru-baru ini.

Selain penyanyi Madah Berhelah itu, konsert tersebut turut diserikan dengan penampilan dua legenda ternama tanah air, Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri selain penyanyi berbakat besar, Bob Yusof.

Umpama sebuah majlis rumah terbuka besar-besaran, sejumlah besar penonton, 800 kesemuanya, hadir ke konsert Raya Sepanjang Zaman berpakaian tradisional.

Lebih 24 lagu dipersembahkan, antaranya seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Aidilfitri, Indah Di Hari Raya, Seloka Hari Raya, Dendang Perantau, Suara Takbir dan banyak lagi.

Pujian harus diberikan kepada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) atas inisiatif memartabatkan atau meneruskan kesinambungan lagu-lagu Hari Raya lama menerusi sebuah konsert istimewa.

Pengarah, Pengurusan dan Pembangunan Bakat Muzik MPO selaku konduktor konsert tersebut, Ahmad Muriz Che Rose berharap usaha berkenaan akan terus menerima sokongan masyarakat agar ia dapat disambung pada tahun-tahun mendatang.

“Konsert ini dibuat kerana ada sokongan. Selagi ada permintaan, selagi itu kami akan anjurkan.

“Berdasarkan sambutan yang kami terima, tidak mustahil konsert Hari Raya seperti ini dijadikan acara tahunan MPO yang akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

NOSTALGIA LAGU P.RAMLEE

Kemunculan Hail Amir dalam konsert tersebut amat dinantikan penonton. Memberikan persembahan bertenaga,  penyanyi bertaraf legenda itu mengembalikan nostalgia antaranya menerusi lagu-lagu Hari Raya yang dicipta dan dinyanyikan P. Ramlee seperti Dendang Perantau dan Suara Takbir.

“Konsert ini terlalu istimewa kerana kehadiran penonton umpama tetamu berhari raya bersama-sama.

“Lagu-lagu P.Ramlee cukup dekat di hati saya. Apatah lagi lagu-lagu Hari Rayanya.

“Tambahan lagi, bukan senang untuk dapat peluang menyanyi bersama orkestra. Saya berpuas hati,” kongsinya.

PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN

Pemilihan Bob Yusof untuk konsert Raya Sepanjang Zaman adalah keputusan yang tepat.

Berbekalkan kemantapan vokal yang dimiliki, penyanyi asal Limbang, Sarawak itu berjaya menyuntik jiwa dalam lagu-lagu Hari Raya yang dipersembahkan termasuk lagu-lagu yang dipopularkan Biduanita tersohor, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Datuk M.Nasir.

“Bukan senang menyanyikan semula lagu-lagu malar segar Hari Raya dengan orkestra yang membabitkan penggunaan banyak instrumen (muzik).

“Ini adalah pencapaian yang boleh saya banggakan kerana bukan mudah untuk dapat peluang bekerjasama dengan MPO.

“Saya pernah buat persembahan di pentas yang sama pada 2010 tetapi tidaklah seperti konsert ini.

“Kerana itu, pengalaman menjayakan konsert Raya Sepanjang Zaman ini boleh saya rekodkan sebagai antara pencapaian terbaik saya,” katanya.

Bob dalam kesempatan diberikan, turut meluahkan rasa gembira kerana buat pertama kalinya diberi peluang berduet dengan penyanyi kesayangannya, Ziana Zain.

“Tidak pernah berkongsi pentas dengan Ziana Zain. Jadi saya sangat teruja kerana dapat peluang itu dalam konsert ini. Ia adalah satu penghormatan dan kenangan manis untuk saya, Alhamdulillah,” jelasnya.

CIPTA MOMEN ISTIMEWA

Kehadiran Sanisah Huri, yang diterbangkan khas dari Singapura menambah keistimewaan konsert tersebut. Pemilik suara  lagu Aidilfitri dan Bersabarlah Sayang itu mencipta momen tersendiri pada malam tersebut.

 “Saya gementar sebab saya tidak pernah menyanyi diiringi pemuzik orkestra dan ini merupakan kali pertama saya membuat persembahan di DFP.

“Saya berterima kasih kepada konduktor yang banyak memberi semangat dan membantu.

“Sorakan penonton sedikit sebanyak menaikkan semangat di atas pentas, membuatkan persembahan kedua saya berjalan lancar,” katanya.

HADIAH ULANG TAHUN PALING BERMAKNA 

 Ini adalah hadiah ulang tahun paling bermakna sepanjang hidup”

Itu luahan Ziana yang menganggap penglibatan dalam konsert Raya Sepanjang Zaman sebagai satu pencapaian penting sepanjang kariernya.

Ziana, yang baru menyambut ulang tahun ke-55 tahun, gembira kerana diberi penghormatan beraksi di atas pentas berprestij.

“Saya sambut usia 55 tahun dengan peluang menyanyi bersama MPO,  pentas idaman saya. Inilah rezeki. Allah tetapkan hari ini, maka hari ini, saya punya. Penyanyi lain mereka dapat lebih awal.

“Saya tak pernah berhenti mengharap, sentiasa katakan pada diri sendiri satu hari saya akan dapatkannya.

“Dengan usaha dan rezeki Allah, Alhamdulillah akhirnya tercapai, bersama dengan legenda-legenda yang saya hormati,” ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya