PENYANYI legenda, Datuk M. Nasir sangat terkenal dengan sikap yang tidak terlalu banyak berbicara dan sentiasa kelihatan serius.
Ramai yang seakan tidak berani mendekati sifu muzik terkenal ini dek kerana imej dan keperibadiannya.
Namun, menyentuh perkembangan muzik dan lagu, penyanyi kelahiran Singapura ini sangat rancak berbicara.
Disoal karya malar segar atau lagu hits memerlukan teknik tertentu, M.Nasir yang berpengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik berkata, setiap pencipta lagu perlu memahami trend dan perkembangan semasa.
“Kadang-kadang lagu yang murah dan pelik-pelik boleh menjadi hits. Bentuknya murah tetapi ada unsur hits.
“Kita perlu ikut trend sebab yang penting lagu itu sedap. Contohnya seperti lagu berkonsepkan leman, tangkap leleh dan balada tak trend tapi sedap dan hits,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, M. Nasir berkata, tiada istilah ‘pasti’ dalam industri muzik kerana sekiranya lagu yang dihasilkan mengikut gaya terkini tetapi gagal menjadi hits juga dianggap tidak berjaya.
Jelasnya, mencipta lagu hits juga memerlukan kemahiran lain dan magis itu pula adalah satu misteri.
“Kita tak dapat ajar orang tentang magis, tetapi kalau penyanyi itu ada elemen tersebut ia menjadi satu bonus.
“Banyak sudut sebenarnya, ada album lama yang masih mendapat tempat. Ada lagu baru dicipta sudah tular serta diterima ramai.
“Ada masa lagu itu hits sebab tular dalam media sosial. Contohnya, Casablanca walaupun lagu itu bentuknya sederhana tetapi ada unsur hits,” katanya.
Disoal trend penyanyi juga adalah komposer dan penulis lirik, M.Nasir melihat ia sebagai perkembangan yang bagus.
Katanya, situasi itu berlaku di mana-mana negara kerana sejak zaman The Beatles juga mereka sudah menggubah dan menyanyikan lagu sendiri.
“Trend yang bagus kalau mereka benar-benar bagus. Namun, dalam dunia rakaman ada orang yang boleh buat serta ada individu yang merasakan dia boleh buat sebab memiliki kelengkapan.
“Bakat mencipta lagu atau menyanyi hanya orang lain yang boleh ukur. Kalau individu itu sendiri mungkin tidak cukup,” katanya.
SIMBIOSIS ARTIS, MEDIA
Ditebak sikap segelintir artis muda yang merasakan media sosial sudah menjadi saluran media mereka sendiri, M.Nasir berkata, antara artis dan media perlu wujud simbiosis.
Katanya, sikap memerlukan antara satu sama lain sudah menjadi amalan sejak sekian lama, namun perlu wujud batasan tertentu.
“Kalau amalan secara profesional, artis perlukan media tetapi tidaklah menjadi terlalu rapat.
“Artis perlu ada perantara dengan media supaya mengelakkan situasi pilih kasih, berat sebelah atau media dipergunakan artis,” katanya.