Krisis Myanmar: Malaysia kecewa tindakan lemah dalam 5PC

Krisis Myanmar: Malaysia kecewa tindakan lemah dalam 5PC

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dalam Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan lemah dalam usaha ASEAN menangani krisis kemanusiaan dan pencabulan hak asasi manusia di Myanmar, meskipun sudah memasuki tahun ketiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, didapati tindakan lemah dalam menangani krisis itu sebagaimana termaktub dalam pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

5PC antara lain menyeru keganasan dihenti serta-merta dan diusahakan dialog politik inklusif.

Katanya, Malaysia mengambil perhatian Indonesia telah menjalankan 60 penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar dan perkembangannya masih perlahan.

Menurut beliau, Malaysia kecewa kerana masih terdapat tindakan lemah yang nyata dalam pelaksanaan 5PC.

Bagaimanapun, kami tetap menyokong usaha utusan khas pengerusi itu (Indonesia),” kata Perdana Menteri seperti dilapor akhbar tempatan.

Kata Anwar, keadaan di Myanmar masih mencabar tetapi semua anggota ASEAN perlu menyokong pengerusi ASEAN tahun ini iaitu Indonesia untuk melaksanakan 5PC bagi menyelesaikan krisis itu.

Seperti yang dipersetujui oleh pemimpin ASEAN pada November 2022, 5PC akan kekal sebagai rujukan sah ASEAN dan harus dilaksana secara keseluruhan.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Ini adalah Sidang Kemuncak ASEAN pertama Anwar sebagai Perdana Menteri. Pemimpin junta tentera Myanmar tidak diundang menghadiri sidang kemun­cak itu.

Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Ekonomi serta MITI.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN dan Permukiman Sidang Kemuncak, Perdana Menteri turut mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan hubungan baiknya dengan ne­gara lain untuk menghimpun ma­syarakat antarabangsa, termasuk utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menyokong usa­ha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.

“Resolusi aman di Myanmar hanya boleh dicapai dengan kehendak kolektif semua pihak yang terlibat di Myanmar untuk menegakkan aspirasi rakyat Myanmar seperti yang dicerminkan pada pilihan raya umum November 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya