SEBERANG PERAI: Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi menyarankan supaya sekolah tidak melaksanakan aktiviti luar bilik darjah susulan cuaca panas melampau yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, aktiviti terbabit perlu ditangguhkan sementara cuaca kembali seperti sediakala.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan negeri dan memberikan panduan bagi memastikan sekolah tidak menjalankan aktiviti luar.
“Setakat ini memang tiada sekolah yang ditutup susulan cuaca panas, namun kita terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Pengurusan berkaitan garis panduan serta pemantauan dilakukan dengan ketat oleh KPM bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan keadaan terkawal.
“Biarpun penangguhan ini bersifat sementara, namun ada sesetengah negeri yang cuacanya semakin baik, maka kita akan sentiasa pantau dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak bersekolah yang berisiko diserang strok haba susulan cuaca panas ketika ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah (JPN) negeri, Abdul Rashid Abdul Samad. – UTUSAN