SABAK BERNAM: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan untuk menutup 300 tapak sampah haram di seluruh negara dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tapak sampah haram itu kebanyakannya didapati melibatkan kawasan perindustrian di Selangor.
“Penutupan tapak sampah haram itu sememangnya menjadi agenda saya sejak mula dilantik menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan.
“Walaupun menyasarkan penutupan 100 tapak sampah haram, kita berjaya melepasinya dengan melupuskan 128 tapak selepas 100 hari saya dilantik sebagai Menteri KPKT,” katanya pada ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekinchan di sini, hari ini
Utusan Malaysia pada 7 Mac lalu melaporkan tanah sama ada milik persendirian yang disewa kepada pihak tertentu bagi aktiviti pelupusan sampah haram di Selangor bakal dirampas jika pemiliknya mengingkari notis arahan pemulihan.
Jelas Kor Ming, belliau tidak berkompromi dengan soal kebersihan dan akan terus meningkatkan usaha membanteras tapak sampah haram termasuk pembakaran terbuka ketika cuaca panas.
“Usaha itu masih berjalan dan saya akan membuat pengumuman selepas kerja (penutupan sampah haram) selesai kelak. KPKT dan kerajaan negeri juga sedang berbincang dalam menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi menangani isu itu
“Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam keadaan bersiap siaga dari segi aset dan logistik bagi menghadapi musim panas ini. Kerajaan memperuntukkan RM46.15 juta kepada bomba tahun ini bagi membeli peralatan dan perolehan supaya kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap tertinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sejumlah RM2.52 juta diluluskan bagi menaik taraf dan penyelenggaraan seperti longkang utama di Jalan Bernam, pemasangan papan iklan LED dan naik taraf bumbung Pasar Awam di Sekinchan.
“Ia meliputi kerja menaik taraf longkang utama di Jalan Bernam berjumlah RM800,000 dan pemasangan papan iklan LED di pekan Sekinchan sebanyak RM290,000.
“Selain itu, projek menaik taraf bumbung gerai penjaja Pasar Awam Sekinchan pula sebanyak RM480,000 dan membaik pulih serta membina infrastruktur di enam kampung baru Cina,” jelasnya. – UTUSAN