KPDN siasat suami isteri gagal bekalkan baju raya - Utusan Malaysia

KPDN siasat suami isteri gagal bekalkan baju raya

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menahan dua individu disyaki melakukan kesalahan menuntut atau menyetujui terima bayaran tanpa niat untuk membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian pada 11 Mei lalu. 

Penahanan dua individu terbabit yang juga pasangan suami isteri telah dilakukan di pejabat KPDN cawangan Manjung, Perak susulan siasatan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam berhubung penjualan pakaian secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak wujud.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, aduan dibuat ke atas syarikat yang beralamat di Sitiawan, Perak di mana pengadu telah membuat pembelian bagi sepasang baju kurung setelah melihat tawaran iklan penjualan baju kurung berkenaan melalui laman sosial Facebook milik suspek.

“Namun, setelah pembayaran dilakukan sehingga tempoh aduan ini dibuat, baju kurung yang dibeli tidak diterima oleh pengadu.

“Siasatan awal ke atas aduan, pihak KPDN berjaya mengesan maklumat atau butiran suspek seterusnya siasatan dilakukan ke atas individu terbabit yang juga pemilik syarikat itu. Setelah rakaman percakapan dilakukan, pihak KPDN telah bertindak menahan dua individu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, berdasarkan rekod, KPDN menerima sejumlah 100 aduan daripada seluruh negara berkaitan penipuan jualan yang dilakukan oleh suspek secara dalam talian.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut yang dilakukan mendapati, suspek telah menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan di Facebook.

“Peralatan elektronik yang ditemukan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,700.00.

“Kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an seterusnya telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman. Majistret telah membenarkan tempoh empat hari reman bermula 12 sehingga 15 Mei,” katanya.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] bagi siasatan menyeluruh ke atas pengiklanan dan transaksi kewangan.

Katyanya, KPDN memandang serius ke atas kegiatan penipuan aktiviti penjualan secara dalam talian yang diklasifikasikan juga sebagai jenayah siber dengan mengeksploitasi teknologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya