KPDN rampas beg tangan tiruan bernilai hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

KPDN rampas beg tangan tiruan bernilai hampir RM1 juta

KAMALLUDIN Ismail (tengah) menunjukkan beg tiruan jenama mewah yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Bandar Lahat Mines, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik menjadikan sebuah rumah  dua tingkat di kawasan perumahan berpagar di Bandar Lahat Mines di sini sebagai stor simpanan barangan tiruan terbongkar selepas digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak hari ini.

Serbuan pada pukul 11.30 pagi itu membawa kepada rampasan 5,100 unit beg tangan jenama mewah dan pakaian tiruan dianggarkan bernilai RM888,000.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang turut disertai wakil cap dagang jenama berkenaan berjaya menghasilkan tangkapan seorang lelaki dipercayai peniaga berusia lingkungan 40 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati, perniagaan yang dijalankan secara dalam talian itu telah beroperasi sejak tahun 2016.

“Risikan ke atas perniagaan ini dilakukan selama tiga minggu dengan menyiasat akaun media sosial yang digunakan bagi mengiklan dan menjual barang-barang tiruan ini.

“Menerusi maklumat yang diperoleh dan berdasarkan resit penghantaran barang, kita berjaya mengesan lokasi di mana stor ini berada yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa sebagai pusat penyimpanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi perniagaan itu adalah mengiklankan barangan tiruan yang didakwa produk premium dan berkualiti tinggi itu melalui WeChat, Facebook dan Telegram.

Katanya, siasatan mendapati beg tangan tiruan jenama mewah itu boleh dijual sehingga mencecah harga RM1,300 berbanding harga sebenar dan mampu mengaut keuntungan berganda.

“Barangan tiruan ini dipercayai diperoleh dari luar negara dan peniaga yang ditahan itu pertama kali diberkas atas kesalahan memiliki dan menjual barang tiruan.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta yang sama,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya