KUALA KANGSAR: Sebanyak 31,000 liter minyak diesel bersubsidi berjaya dirampas dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah kilang papan tidak bernombor di Kampung Chuar Hulu dekat Sauk, di sini hari ini.
Serbuan melalui Op Tiris pada pukul 10.30 pagi itu menemukan bahan bakar berkenaan disimpan di dalam dua unit skid tank.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan di lokasi juga menjumpai sebuah lori lima tan dan sebuah van yang diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal lori tersebut.
Katanya, kesemua kenderaan, peralatan penyedut minyak dan cecair dipercayai minyak diesel dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM101,400, telah disita.
“Ketika serbuan dijalankan, tiada pemilik premis di lokasi berkenaan. Kita percaya sindiket ini membeli minyak diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Kuala Kangsar dengan harga subsidi.
“Pembelian secara berulang itu kemudian dikumpul dan disimpan di dalam tangki di premis ini sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan risikan, sindiket itu mengupah ‘tonto’ bagi memastikan aktiviti mereka beroperasi tanpa disedari pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas stesen minyak yang berkaitan dan tindakan akan diambil jika didapati mereka terlibat dalam penyelewengan ini.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN