KPDN pantau harga barangan sepanjang LIMA ‘23 - Utusan Malaysia

KPDN pantau harga barangan sepanjang LIMA ‘23

FAUZIAH Salleh (dua dari kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik simbolik bagi pelancaran Radix Bakery House di Taman Sena Indah, Kangar, Perlis. -UTUSAN/MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau harga barangan dan perkhidmatan sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung pada 23-27 Mei ini.

Bagi tujuan itu, KPDN Kedah akan diberi tanggungjawab bagi memantau harga membabitkan perkhidmatan kereta sewa, hotel dan makanan sepanjang program berkenaan berlangsung.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kawalan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap peniaga tidak mencatut harga barangan dan perkhidmatan mereka sesuka hati untuk mengaut keuntungan mudah.

“Saya sendiri akan turun bersama-sama KPDN Kedah untuk melakukan pemantauan bagi memastikan kawalan harga terhadap barangan dan perkhidmatan sepanjang LIMA ‘23 berlangsung,” katanya selepas Perasmian Radix Bakery House di Taman Sena Indah, di sini, hari ini.

LIMA ’23 bakal berlangsung pada akhir Mei ini dengan bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia.

Kali terakhir pameran dwi tahunan itu dianjurkan adalah pada 2019.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, anggota penguatkuasa KPDN juga akan melakukan pemantauan lebih awal dari tarikh penganjuran LIMA ‘23 memandangkan terdapat di antara pengunjung telah membuat tempahan dan bayaran bagi mengikuti program itu.

“Kita juga memberi peringatan kepada pemain industri agar mereka dapat mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan.

“Adalah lebih wajar peniaga menetapkan harga biasa kerana KPDN akan melakukan kawalan secara serius sepanjang penganjuran acara berkenaan,” katanya.

Tambahnya, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti-pencatutan 2011 terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan dan menetapkan harga tidak munasabah terhadap orang ramai.

“Di Malaysia, KPDN hanya mengawal harga bagi 11 item sahaja dan bagi barangan lain kita berpegang kepada Akta Kawalan Harga Dan Anti-pencatutan 2011 bagi mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya