Kos korban di Mekah naik - Utusan Malaysia

Kos korban di Mekah naik

SHAMSUL Bahar Shamsudin (berdiri) memerhatikan petugas TH melayani jemaah yang ingin berurusan di kaunter Bank Islam di Abraj Al-Janadriyah di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melaporkan dari Mekah

MEKAH: Bayaran untuk menunaikan ibadah korban di Tanah Suci bagi musim haji kali ini dilaporkan me­ningkat sehingga RM90 atau 73 riyal.

Pengarah Operasi Kewangan Tabung Haji (TH), Shamsul Bahar Shamsudin berkata, sebagai contoh, bayaran bagi seekor kibas ditetapkan pada kadar RM900 (733 riyal) berbanding RM810 (660 riyal) pada tahun lepas iaitu meningkat RM90.

Menurut beliau, TH menjangkakan menerima sehingga 10,000 penyertaan korban di Tanah Suci daripada jemaah haji dan orang ramai yang hanya dilakukan pada hari tasyriq ketika sambutan Aidiladha.

“Setakat ini kita telah merekodkan sebanyak 6,500 penyer­taan yang dibuat menerusi aplikasi Thijari dan kaunter TH bagi mereka yang berada di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelasnya, penyertaan mula dibuka pertengahan Mei sebelum ditutup pada 24 Jun ini.

“Korban dilakukan dengan kerjasama Islamic Development Bank Arab Saudi di mana mereka mengaturkan proses sembelihan dan agihan daging di 25 buah negara lain seperti Jordan, Palestin, Syria, Iraq, Bangladesh, Senegal dan Azerbaijan.

“TH akan mengadakan lawatan ke pusat penyembelihan di Mina lebih awal sebelum hari tasy­riq dan bekalan haiwan diperoleh dari merata tempat. Bekalan dijamin mencukupi,” katanya.
Katanya, jemaah haji boleh membayar dam sekiranya me­lakukan haji tamatuk dan qiran menggunakan Thijari. Kadar dam ditetapkan RM725 (591 riyal) untuk seekor kibas.

Tambahnya, TH menggunakan pembayaran menerusi Thijari seiring dengan teknologi selain memenuhi peraturan Arab Saudi manakala ambilan tunai hanya boleh dilakukan di kaunter di Malaysia.

“Kita juga bekerjasama de­ngan Bank Islam bagi memudahkan jemaah menggunakan mesin pengeluaran wang automatik di sini. Jemaah dinasihatkan membuat pembayaran menerusi payWave jika hendak membeli-belah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya