GEORGE TOWN: Lebih 500 peserta yang merupakan penunggang motosikal klasik dan vintaj menyertai konvoi amal merentasi Jambatan Pulau Pinang semalam, sempena bulan kesedaran Kesihatan Mental Lelaki dan Kanser Prostat.
Penganjur Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) Penang 2023, Wan Zamani Ahmad berkata, konvoi sejauh 35 kilometer tersebut bermula di Color Port Marina Alfresco, Pengkalan Weld di sini, kira-kira jam 10 pagi yang melalui beberapa lokasi Tapak Warisan George Town seterusnya merentasi Jambatan Pulau Pinang menuju ke pusat membeli-belah Sunway Carnival sebagai destinasi terakhir.
“Program tahun ini berjaya menambah bilangan peserta berbanding tahun lalu dan ini membuktikan ia semakin mendapat perhatian dan kesedaran dari pelbagai latar belakang tanpa mengira golongan, kaum, usia dan kerjaya.
“Malah, konvoi ini yang juga merupakan kali keenam penganjurannya turut mendapat sokongan pelbagai pihak antaranya Triumph Penang (GB Motorcycles), Sunway Carnival Mall dan Color Port Penang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas program itu semalam.
Tambah Wan Zamani, Rotten Motocycles yang merupakan penganjur berlesen dan turut diiktiraf oleh DGR Australia selaku pelopor kempen tersebut mempunyai misi dan tujuan yang sama iaitu mempromosikan Pulau Pinang ke seluruh dunia serta membantu sektor perubatan dan pelancongan khususnya.
Jelasnya, antara yang turut memeriahkan program amal itu termasuk beberapa pemilik kelab motor kafe, pemilik motosikal dari kumpulan Team Tryharder; Vespa; Harley Davidson; Royal Enfield; Triumph dan peserta lain yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Tambah beliau, selain dapat mengeratkan hubungan setiakawan sesama komuniti penunggang motosikal, konvoi tersebut juga bertujuan mengumpul dana bagi penyelidikan dan memberi kesedaran mengenai kesihatan lelaki khususnya kanser prostat dan masalah kesihatan mental.
“Selain itu, peserta konvoi juga akan berkonvoi dengan berpakaian kemas bagi menangkis pandangan negatif masyarakat terhadap imej dan sikap penunggang motosikal dan menyatukan komuniti penunggang yang terdiri daripada
pelbagai budaya dan kaum,” katanya.- UTUSAN