KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi berada di peringkat yang baik.
Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu berkata, kedua-dua gabungan tersebut sudah merangka beberapa kerja.
Menurut beliau, sebuah ‘war room’ akan diwujudkan secara bersama untuk berhadapan PRN iaitu menyusun kempen-kempen calon bakal bertanding.
“Kita akan menyusun kempen yang lebih terarah, bukan berdasarkan kepada propaganda-propaganda tetapi lebih kepada tawaran dan perisian,” katanya ketika ditemui pemberita Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka.
Antara negeri yang bakal berdepan dengan PRN tidak lama lagi adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
Ketika ini, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikuasai oleh Pas manakala Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).
Aiman Athirah mengakui bahawa jentera wanita UMNO menjadi nilai tambah yang kuat dan memperkukuhkan lagi gerakan untuk berhadapan PRN.
“Setakat ini kita sudah bergerak ke beberapa negeri, menemui wanita-wanita Perpaduan di seluruh negara. Saya tidak nampak apa-apa masalah dalam merancang tugas.
“Seperti hari ini, dua jentera iaitu daripada PH dan BN bergabung. Saya nampak semuanya senada, tiada yang nak lebih daripada mana-mana pihak,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, momentum yang ditetapkan Kerajaan Perpaduan diharap membantu dalam memenangi PRN.
“Kami harap momentum optik kestabilan dan solidariti ini akan turun ke peringkat negeri dan seterusnya memenangi dalam enam PRN bakal datang, insya-Allah.
“Saya cukup yakin dengan kekuatan yang dipamerkan, kami berani berdasarkan tekad wanita yang telah ditangani oleh semua jajaran kepimpinan Wanita Perpaduan dan ia akan diterjemahkan dalam gerak kerja serta jentera semasa PRN nanti,” katanya. – UTUSAN