GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengakui tidak menyedari terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya dan mahu menyingkirkan beliau sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurut Kon Yeow, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri selama ini.
“Saya tidak tahu siapa mereka, mereka pun tidak pernah menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap saya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri ditanya berkenaan laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat beliau daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.
Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Ditanya mengenai laporan portal berita itu yang mendakwa mengadakan pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan semalam, Kon Yeow bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya belum baca dan tidak tahu apa-apa yang dilaporkan dan berita ini adalah baharu kepada saya. Kalau saya tak baca tapi nak jawab, tak adil jugalah.
“Saya akan akan jawab, bukan hari ini, tetapi apabila sampai masanya,” katanya.
Ditanya lanjut mengenai sama ada Guan Eng masih berpeluang menjadi Ketua Menteri semula sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, pindaan negeri pada 2018 dengan jelas memasukkan dasar baharu yang mana seseorang itu tidak boleh dilantik sekiranya pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama dua penggal.
“Pindaan itu dibawa ke sidang DUN dan diluluskan oleh kesemua ahli-ahli PH pada masa ia dipinda dan diundikan (pada 2018),” katanya.
Untuk rekod, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.
Kepada soalan jika beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan PH pada PRN terlebih dahulu.
“Selepas menang baru boleh ambil tindakan seterusnya,” katanya. – UTUSAN