PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Special jenama Indomie selamat untuk dimakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk itu telah menjalani analisa makmal dan mendapati ia mematuhi perundangan yang ditetapkan dan selamat untuk dimakan.
“Ia adalah perkembangan terkini berkaitan isu produk mi segera yang dikesan mengandungi ethylene oxide seperti dilaporkan media sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, KKM mengarahkan supaya dua produk mi segera itu ditarik balik penjualannya dari pasaran susulan dakwaan terdapatnya ethylene oxide oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Radzi berkata, KKM melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk berdasarkan risiko bagi produk makanan diimport.
Menurutnya, bagi pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas (TUL), produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisa terlebih dahulu.
“Hanya produk makanan yang mematuhi standard dilepaskan untuk di pasaran Malaysia.
“Bagi tempoh 2022 hingga April lalu, sejumlah 317 pensampelan bagi tujuan TUL dijalankan dan daripada jumlah tersebut, 37 (11.67 peratus) adalah pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter ethylene oxide,” katanya.
Katanya, bagi mana-mana produk yang didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan, KKM akan bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk memastikan semua produk itu ditarik balik daripada pasaran.
Jelasnya lagi, KKM ingin menegaskan bahawa produk yang berada di pasaran tempatan melalui prosedur yang ditetapkan dan adalah selamat. – UTUSAN