PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diarahkan supaya mengambil tindakan segera terhadap platform pemesejan, Telegram susulan isu penipuan dalam talian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu termasuk bertemu dengan pihak Telegram selain turut mendapat sokongan pengguna Telegram.
Beliau berkata, sebelum ini, sudah ada negara yang mengharamkan platform itu dan kerajaan berpendapat langkah itu wajar jika ia dilihat merosakkan dan mengancam keselamatan masyarakat.
“Walaupun aplikasi Telegram ini tidak sebanyak aplikasi lain tetapi kesan negatif yang wujud dari bahan-bahan dipergunakan itu cukup merosakkan.
“Justeru langkah susulan perlu dilakukan jika pihak pengendali Telegram masih tidak mahu bekerjasama sama ada dengan menteri KKD atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendirian kerajaan berhubung tindakan Telegram yang enggan bekerjasama dengan KKD.
Ahmad Zahid berkata, negara ini mempunyai sistem perundangan biarpun mempunyai penjanjian atau protokol dalam melayani semua saluran media sosial.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Telegram masih enggan memberi bekerjasama dengan kerajaan sejak Januari lalu memandangkan banyak aduan yang dibuat terhadap platform media sosial itu.
Semalam, Telegram memaklumkan enggan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi pemesejan itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.
Dalam satu kenyataan kepada New Straits Times (NST) jurucakap Telegram, Remi Vaughn berkata, aplikasi itu secara aktif mengawal kandungan berbahaya pada platformnya, termasuk penjualan bahan haram dan pornografi sejak dilancarkan.
Pengendali platform itu sudah memantau secara proaktif bahagian umum di aplikasinya, selain menerima laporan pengguna menerusi aplikasi itu sendiri serta e-mel di [email protected] untuk mengalih keluar kandungan yang melanggar syarat perkhidmatannya. – UTUSAN