KJ calon PM hanya pendapat peribadi - Utusan Malaysia

KJ calon PM hanya pendapat peribadi

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming yang mahu calon Perdana Menteri daripada DAP disifatkan hanya pandangan peribadi dan bukan pendirian parti tersebut.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming menjelaskan, parti tersebut tidak pernah menghalang mana-mana ah­linya mengeluarkan pandangan khususnya isu politik selaras dengan prinsip demokrasi.

“Baik Ahli Parlimen mahupun pemimpin (dalam DAP), mereka bebas untuk memberikan sebarang pendapat peribadi.

“Walau bagaimanapun, setiap daripada mereka itu adalah terikat dengan keputusan parti, jelas. Itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas me­lakukan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan di sini semalam.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengulas cadangan Kian Ming agar bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, me­nyertai DAP kerana parti itu tiada calon Perdana Menteri.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberikan cadangan tersebut ketika sesi temu bual ‘Keluar Sekejap’ bertajuk ‘Kenapa Melayu Tak Suka DAP?’.

Pada Januari lalu, bekas Menteri Kesihatan yang popular dengan panggilan KJ itu dipecat daripada UMNO manakala keahlian Shahril Sufian dalam parti tersebut digantung selama enam tahun.

Sehingga kini, Khairy masih belum menyatakan hala tuju kerjaya politiknya termasuk desas-desus akan menyertai parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam ne­geri tidak lama lagi.

Shahril Sufian bagaimanapun menyatakan tidak akan bertan­ding pada PRN tersebut kerana beranggapan secara teknikalnya, beliau masih ahli UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya