SEPANG: Kerajaan Malaysia belum mendapat sebarang keputusan muktamad mengenai isu kuota tambahan jemaah haji pada musim kali ini daripada Arab Saudi.
Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, beliau sendiri pun tidak tahu bilakah perkara itu akan dapat diketahui.
“Insya-Allah, saya juga pun masih tunggu kuota tambahan kerana seperti biasa setiap tahun memang pihak kerajaan kita ada mohon,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni kumpulan kedua seramai 160 petugas haji yang berlepas ke Tanah Suci meliputi kebajikan, perubatan, beberapa agensi luar dan media tempatan.
Mereka merupakan sebahagian daripada 670 petugas yang akan digerakkan ke Arab Saudi bagi operasi haji musim ini dengan kumpulan pertama berlepas petang Jumaat lalu.
Pada 29 April lalu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pihaknya menjangka kuota tambahan sebanyak 10,000 lagi untuk musim kali ini dapat diketahui awal bulan ini.
Ia susulan kejayaan Malaysia telah memperoleh kuota ekstra kira-kira 350 orang diluluskan kerajaan Arab Saudi menerusi sesi permohonan rayuan pertama awal bulan lepas.
Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang khabar mengenai isu tersebut ketika Indonesia pada 8 Mei lalu mengumumkan negara jiran itu mendapat kuota tambahan.
Menteri Agamanya, Yaqut Cholil Qoumas dipetik media tempatan mengesahkan republik itu menerima lagi kuota ekstra sebanyak 10,000 lagi selain 221,000 untuk kuota rasmi.
Malaysia sebaliknya tiada memperoleh apa-apa malah Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Putrajaya semalam memberikan ‘klu’ tiada kuota tambahan.
Siri terakhir itu sebaliknya hanya memaparkan kumpulan terakhir penerbangan yang akan bertolak dari tanah air pada 21 Jun depan sebagai genap kuota biasa 31,600 orang.
Mengulas lanjut, Syed Saleh namun enggan menyatakan sama ada permohonan rayuan Malaysia berjaya atau gagal kerana ia terpulang atas pertimbangan kerajaan Arab Saudi.
“Negara itu juga perlu beri perhatian kepada banyak negara lain lagi yang memohon kuota tambahan dan kali ini mungkin akan berlaku kelewatan pengumuman rasmi,” jelasnya.
Beliau walau bagaimanapun berharap ada berita gembira dari Arab Saudi mengenai isu tersebut kerana ia sekali gus mengurangkan tempoh giliran menunggu bakal jemaah.
Ketika ini, pendeposit TH yang mendaftarkan ibadah tersebut akan menerima giliran untuk tempoh 115 tahun akan datang susulan kekangan kuota yang ditetapkan Arab Saudi.
Keadaan itu menyebabkan ada bakal jemaah yang terdesak kerana faktor usia lanjut, sanggup memohon visa furada dan ada menjadi mangsa penipuan oleh agensi tertentu.
Negara ini pernah mendapat kuota tambahan sehingga lebih 40,000 orang sebelum musim haji 2018 lalu kerana hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. – UTUSAN