Kilang gula tutup sementara cuti Aidilfitri punca bekalan putus

Kilang gula tutup sementara cuti Aidilfitri punca bekalan putus

SALAHUDDIN Ayub bercakap dalam sidang akhbar berhubung isu bekalan gula di pantai timur di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Isu bekalan gula paket satu kilogram (kg) yang ‘terputus’ di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu berlaku akibat penutupan sementara kilang MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gangguan bekalan tersebut hanya berlaku di negeri Kelantan dan beberapa lokasi di Terengganu, tetapi tidak melibatkan negeri-negeri lain dan bekalan adalah mencukupi.

“Namun begitu, kedua-dua kilang MSM ini sudah beroperasi semula pada 25 April yang lalu. Bekalan gula telah diperoleh secara berperingkat melalui pemborong-pemborong utama negeri-negeri terbabit.

“Semalam, KPDN Kelantan mengambil langkah untuk mengedarkan bekalan gula paket sekilogram sebanyak 250,000 kg yg ada dalam simpanan pemborong utama di Kelantan kepada pemborong dan peruncit yang terjejas,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Salahuddin, terdapat lapan pemborong utama gula di Kelantan yang mana mulai Sabtu lalu sehingga semalam, empat pemborong utama gula menerima sebanyak 140.72 metrik tan gula daripada MSM.

Jelas beliau, bekalan baharu yang diterima itu akan diagihkan kepada pemborong dan peruncit mulai esok dengan pemantauan oleh KPDN Kelantan.

Selain itu, katanya, KPDN turut bekerjasama rapat dengan dua pengilang utama negara iaitu MSM dan CSR bagi memastikan isu gangguan bekalan ini diatasi dengan segera di negeri yang terbabit.

“KPDN akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan di atas situasi yang berlaku atau melanggar mana-mana peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya,” katanya.

Salahuddin berkata, KPDN memberi jaminan bahawa tiada sebarang keputusan untuk menaikkan harga gula setakat ini dan rakyat boleh mendapatkan bekalan tersebut dengan harga yang ditetapkan.

“Saya harap tidak berlaku panik atau rakyat tidak terpedaya kononnya ada isu harga gula akan dinaikkan kerana kita telah dapat atasi isu ini,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa daerah di negeri Kelantan terputus bekalan gula sejak seminggu lalu sehingga menjejaskan peniaga dan menimbulkan keresahan orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya