KUALA TERENGGANU: Orang ramai di sekitar Kampung Sungai Bari, Setiu dekat sini dinasihatkan agar berhati-hati susulan penemuan bekas tapak kaki haiwan liar dipercayai harimau, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada kakitangan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, pekerja projek tersebut telah menemukan beberapa kesan bekas tapak kaki harimau itu dan terus membuat laporan kepada Perhilitan.
“Susulan itu, beberapa petugas jabatan telah bergegas ke lokasi tersebut untuk membuat pemantauan.
“Kemungkinan, haiwan tersebut datang dari hutan simpan berdekatan, namun setakat ini tiada sebarang ancaman serangan ternakan dilaporkan berlaku di kawasan sekitar.
“Justeru, mana-mana pihak yang terlibat kelibat harimau itu dinasihatkan agar segera menghubungi Perhilitan dan tidak melakukan sebarang tindakan provokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya di sini, hari in
Tambahnya, sebarang rakaman video atau foto juga tidak boleh dimuat naik ke mana-mana media sosial kerana khuatir lokasi haiwan liar itu akan diketahui dan diburu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya terserempak, laporkan secepat mungkin kepada Perhilitan agar tindakan lanjut boleh diambil demi menjaga keselamatan orang awam dan haiwan liar tersebut,” katanya. – UTUSAN