Kes tipu pelaburan: NFCC diminta selaras tindakan penguatkuasaan

Kes tipu pelaburan: NFCC diminta selaras tindakan penguatkuasaan

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) berkumpul bersama mangsa penipuan sindiket pelaburan di NFCC di Putrajay. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu bantuan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk menyelaras dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam menyelesaikan kes sindiket penipuan pelaburan membabitkan dua buah syarikat berasingan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, syarikat dikenali sebagai Zutello yang didalangi warga tempatan dan sebuah aplikasi e-ganjaran itu dipercayai menjerat ratusan mangsa dengan jumlah kerugian ratusan juta ringgit.

“Apa yang kami inginkan adalah satu penyiasatan dan pertuduhan di mahkamah (terhadap sindiket penipuan). Pihak NFCC turut menyatakan komitmen, mereka akan membantu kes ini dengan menyalurkan maklumat kepada agensi siasatan.

“Kita mohon NFCC boleh bantu dari sudut melakukan koordinasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat aduan kepada NFCC di Menara Sri Wilayah di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 individu yang merupakan mangsa kepada sindiket penipuan syarikat Zutello dan aplikasi e-ganjaran itu berkumpul sambil membawa plakad memohon siasatan terhadap kes berkenaan.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut turut memohon NFCC supaya dapat mengarahkan agensi penguatkuasaan termasuk polis untuk menjalankan siasatan segera yang bersifat telus dan adil.

Jelasnya, ia berikutan kes membabitkan mangsa penipuan syarikat Zutello diklarifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak polis, sementara kes melibatkan aplikasi e-ganjaran itu sebahagian besarnya pula sebagai Rujuk kepada Lain Jabatan (ROA) atau Rujuk Lain Agensi (RLA).

“Tindakan syarikat Zutello yang memperdaya para pelabur dengan menjanjikan pulangan faedah dalam bentuk Ringgit Malaysia secara bulanan adalah satu perbuatan yang bertujuan serta berniat jenayah untuk menyeleweng wang yang tidak sepatutnya dibenarkan.

“Para pengadu juga hilang wang simpanan hasil penat lelah mereka yang dikumpul selama bertahun-tahun dalam sekelip mata. Jika kejadian ini dibenarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa pihak berkuasa tidak mengambil serius berkenaan kes penipuan yang dilakukan pengarah dan syarikat yang berdaftar,” ujarnya.

Hishamuddin menjelaskan, e-ganjaran itu pula merupakan sebuah aplikasi yang menggunakan modus operandi dengan cara menjanjikan ganjaran baucer subsidi bagi setiap pembelian baucer syarikat berkenaan.

Tambahnya, syarikat Zutello dan aplikasi e-ganjaran itu dipercayai mula bergerak aktif di antara tahun 2020 sehingga 2022 sebelum kedua-duanya tidak dapat diakses oleh para pengadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya