Kes penipuan dalam talian terus meningkat - Utusan Malaysia

Kes penipuan dalam talian terus meningkat

SOFFIAN Santong (dua dari kiri) ketika menghadiri kempen 'Be Smart, Stay Alert, Lets Fight Scam' yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan penipuan siber di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Jumlah kes penipuan dalam talian di daerah Timur Laut di sini mencatatkan peningkatan sebanyak 28.5 peratus iaitu 1,961 kes pada suku pertama tahun ini berbanding 1,816 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya mendapati kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta polis.

“Setiap tahun kita dapati berlaku peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian yang mana pada 2021 sebanyak 5,228 kes dilaporkan manakala tahun lalu sebanyak 5,861 kes dicatatkan.

”Pada suku pertama tahun ini juga berlaku peningkatan kes penipuan dalam talian iaitu 1, 961 kes dan ia adalah peningkatan kira-kira 100 kes penipuan yang dilaporkan berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas menghadiri kempen Be Smart, Stay Alert, Lets Fight Scam di sini hari ini.

Kempen tersebut merupakan anjuran bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Lions Club dan polis daerah Timur Laut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penipuan siber.

Yang turut hadir, Pengerusi MCPF, Felix Chuah dan Pengerusi Lions Club, KK Loy.

Menurut Soffian, jenayah dalam talian membabitkan penipuan e-dagang merupakan antara jenayah siber yang kerap dilaporkan di daerah Timur Laut disusuli dengan jenayah Macau Scam dan penipuan tawaran kerja di dalam talian.

Tambahnya, menerusi siasatan polis, sikap tamak merupakan antara punca mengapa ramai mangsa terjerat dengan sindiket penipuan dalam talian.

”Ada mangsa yang mahu meminjam wang RM10,000 selepas melihat iklan di dalam media sosial, namun akhirnya dia terjerat dengan penipuan siber sehingga terpaksa membayar RM30,000 pula kepada penipu di alam maya.

”Modus operandi penipuan siber ini juga sering berubah-ubah dan kita harap orang ramai akan lebih berwaspada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN