PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kes kekerasan dalam kalangan warganya menunjukkan trend peningkatan sejak 2017.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes kekerasan membabitkan apa jua bentuk sama ada serangan fizikal, lisan, seksual atau bertulis.
Beliau berkata, sebanyak 167 kes kekerasan dilaporkan pada tahun 2017 sebelum meningkat kepada 442 kes pada 2018 dan 494 kes pada 2019.
“Bagaimanapun, sebanyak 321 kes dilaporkan pada tahun 2020 dan 260 kes dilaporkan pada tahun 2021 terutama ketika fasa pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan akhbar sempena Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan & Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Katanya, gangguan kekerasan di tempat kerja boleh mengganggu produktiviti warga kerja KKM dan memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal pekerja.
Muhammad Radzi berkata, keadaan itu juga boleh menjejaskan kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan.
Menurutnya, KKM hari ini turut melancarkan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Warga KKM Edisi ke-2 sebagai menambah baik garis panduan sebelum ini.
“Garis panduan ini adalah penambahbaikan garis panduan sedia ada dari segi definisi, skop, pengendalian kes kekerasan dan proses notifikasi.
“Kami berharap pelancaran garis panduan ini mampu mewujudkan tempat kerja yang selamat, sejahtera dan produktif,” katanya. – UTUSAN