MELAKA: Kementerian Pertahanan mengambil perhatian berhubung dakwaan terdapat empat lagi pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa dipukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada 12 April lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, siasatan dalaman yang sedang berjalan turut mengambil kira semua maklumat berkaitan sama ada dilaporkan oleh agensi media atau orang perseorangan.
Jelasnya, siasatan dalaman dilakukan Kementerian Pertahanan tetap berjalan meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak susulan laporan dibuat oleh bapa kepada salah seorang mangsa kes buli berkenaan.
Ujarnya, laporan penuh berhubung perkara itu dijangka akan dibentangkan pada mesyuarat pasca Kabinet dalam masa terdekat.
“Sebenarnya tajuk-tajuk tentang isu itu, apa sahaja perkara berbangkit, di Kementerian Pertahanan kita memang buat siasatan dalaman. Kebiasaannya ia akan dibentangkan di peringkat pasca Kabinet.
“Kalau ada kelemahan kita akan perbaiki dan kita akan beri kerjasama semua pihak untuk maklumkan. Jadi bagi kita, apa sahaja laporan yang kita terima sama ada melalui media atau melalui orang perseorangan memang kita akan ambil tanggungjawab itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Pada Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan terdapat empat lagi pelatih kursus TUDM didakwa dipukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan.
Difahamkan, keempat-empat pelatih itu dipanggil bagi membantu siasatan kes buli berkaitan seorang pelatih TUDM yang sedang menjalani kursus latihan sama dengan pengadu tersebut didakwa dipukul anggota TUDM senior.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan perubatan. – UTUSAN