Kerajaan sedia 'bertempur' terhadap kritikan media - Utusan Malaysia

Kerajaan sedia ‘bertempur’ terhadap kritikan media

ANWAR Ibrahim membuat lawatan di tapak pameran di Majlis kemuncak Hari wartawan Nasional HAWANA 2023, di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh. - UTSUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Media harus bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Perdana Menteri menegaskan beliau sedia menerima kritikan daripada media.

Menurutnya, kerajaan sedia ‘bertempur’ terhadap mana-mana kritikan oleh media dengan mengemukakan hujah jika terdapat kelemahan dalam pentadbiran.

“Kerajaan membuat keputusan yang jelas bahawa media harus Malaysia harus bebas sepenuhnya. Kritikan (oleh media) terhadap Perdana Menteri dan kepimpinan, boleh, diharuskan dan  (kritikan) tidak seharusnya timbulkan rasa cemas (kepada kerajaan).

“Kalau benar (kerajaan) ada kelemahan, saya  mohon maaf dan kita sedia lakukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian sambutan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching serta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar berkata,  sejarah kewartawanan di negeri ini membuktikan golongan itu juga sebenarnya adalah pengasas idea, pencetus semangat kemerdekaan dan menyemai benih kesedaran. 

Menurutnya, dalam kalangan pembaharu Islam termasuk Zaaba, Sheikh Tahir dan lain-lain, yang membawa perubahan juga tokoh-tokoh kebangsaan yang besar lain seperti Tan Sri A. Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas juga merupakan pemain utama dalam menjayakan akhbar Utusan Melayu dan kemudiannya berkembang.

Beliau berkata, sewaktu berlaku mogok di Utusan pada tahun 1961, peristiwa itu menjadi pencetus mengenai kesedaran kebangsaan yang mahu mempertahankan kebebasan media sebagai suara dan hati orang yang tidak mahu dibelenggu oleh pemerintah. 

“Berlaku mogok di Utusan, satu sejarah tragis bagi wartawan, kemudian apabila wartawan cuba memberi teguran dan kritikan, akhbar The Star diharamkan. 

“Pengalaman ini menunjukkan bahawa perjuangan dalam kalangan wartawan yang mampunyai idea, prinsip dan nilai tidak semestinya mudah, jadi saya dan rakan-rakan dan pimpinan kerajaan sekarang membuat keputusan yang sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar mendedahkan beliau masih lagi membaca surat khabar setiap hari.

“Ketika media berdepan cabaran daripada media sosial, saya masih lihat perkembangannya dan  saya membaca surat khabar,  wajib saya baca. Ada pandangan media utama merosot, bagi saya ia pendapat yang salah, kalau dipertahankan dan integritinya, saya percaya surat khabar akan bertahan,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengumumkan sumbangan awal sebanyak RM1juta kepada Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Tabung itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

Pada majlis tersebut, Anwar menyerahkan sumbangan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu  Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74, seorang pemberita bebas bagi beberapa akhbar Cina;  V. Maniam, 76, pemberita sambilan akhbar Tamil Malar dan Haron Shafei, 65,  bekas pemberita akhbar Utusan Malaysia.

Sementara itu, Datuk Mohd Nor Khalid atau Datuk Lat, 72, menerima Anugerah Hawana 2023 dan menerima wang tunai RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya