Kerajaan Perak kukuh - Saarani - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak kukuh – Saarani

SAARANI Mohamad (barisan depan, dua dari kiri) dalam sidang akhbar bersama ADUN kerajaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perpaduan Perak masih kukuh disebalik dakwaan wujud usaha untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, kerajaan Perak bukan sahaja kuat dan stabil, malah semakin kukuh.

Menurutnya, ini didorong semangat kebersamaan, sifat tanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

“Saya terpanggil untuk menjawab spekulasi yang timbul ekoran kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria kononnya ada wakil rakyat kerajaan yang datang menemuinya sekali gus memberi gambaran seolah-olah wujud gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.

“Tanpa menyertakan sebarang bukti dan asas yang kukuh, kenyataan Ketua Pembangkang DUN Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran dan ketidakstabilan dalam Kerajaan Negeri Perak.

“Untuk itu, saya dan rakan-rakan Exco dan semua ADUN kerajaan hari ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Menurut Saarani, komitmen secara kolektif itu bukan sahaja atas pertimbangan politik, tetapi mengambil kira tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat itu boleh menggugat kepercayaan para pelabur sekali gus mengundang risiko kepada perjalanan pembangunan negeri.

Beliau meminta semua pihak berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri, sebaliknya ia hanya mengundang kekeliruan dan keresahan rakyat yang sudah muak berdepan episod pergeseran politik.

“Saya juga mengajak semua rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi yang akhirnya mengundang ketidakstabilan,” katanya.

Sidang akhbar tersebut diadakan sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini bagi menjawab dakwaan Razman ada wakil rakyat kerajaan berjumpa beliau ketika dakwaan wujud gerakan untuk mengubah kerajaan negeri yang disiarkan akhbar ini kelmarin.

Sidang akhbar itu dihadiri 31 daripada 33 ADUN kerajaan tanpa kehadiran Nga Kor Ming (PH-Kepayang) kerana berada di Jepun manakala Koo Haai Yen (PH-Keranji) belum tiba ketika sidang akhbar bermula. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya