Kerajaan negeri bentang RUU Hotel Perak 2023 - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri bentang RUU Hotel Perak 2023

SANDREA Ng Shy Ching pada Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi pelesenan dan pengawalan hotel di negeri ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Menurut Sandrea Ng, RUU Hotel 2023 itu akan menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 yang telah berusia 96 tahun dan disifatkan telah lapuk.

“Setelah 96 tahun Enakmen Rumah Tumpangan 1927 mentadbir industri rumah tumpangan di Perak, sudah masanya perundangan ini ditambah baik selari dengan perkembangan keperluan pengunjung.

“Penggubalan RUU Hotel Perak 2023 ini juga diperlukan untuk melonjakkan lagi industri perhotelan kerana penyeragaman kualiti perkhidmatan hotel akan memberi manfaat kepada penggiat industri perhotelan dan pengunjung,” katanya.

Menurut Sandrea Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, menerusi penggubalan RUU itu juga, tafsiran hotel akan diperluaskan kepada semua jenis tempat menumpang, bermalam atau berlindung.

Katanya, ia akan membuka peluang kepada semua pengusaha hotel dan rumah tumpangan, chalet, rumah-rumah rehat, khemah dan housebot yang sebelum ini tidak dapat didaftarkan untuk mendapatkan lesen hotel dari pihak berkuasa.

“Justeru, penggubalan RUU ini akan memberi ruang kerjasama dengan lebih ramai pengusaha-pengusaha rumah tumpangan dalam tafsiran yang meluas dan moden,” katanya.

Tambah beliau, draf RUU itu telah melalui proses perbincangan yang panjang dan mendalam dengan mengambil kira pelbagai pandangan daripada pemegang taruh dalam industri perhotelan di Perak.

Katanya, sebanyak 15 sesi libat urus telah diadakan sejak Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 Jun 2022 yang bersetuju dengan cadangan menggubal sebuah enakmen baharu bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1972.

“Sesi libat urus ini menggambarkan usaha yang serius daripada kerajaan negeri dalam menangani masalah komuniti perhotelan yang turut memberi kesan langsung kepada komuniti pelancongan di negeri ini,” katanya.

Sandrea turut menjelaskan, RUU itu tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan wang tambahan kepada kerajaan negeri.

“Keperluan menyediakan RUU ini sangat jelas dan bertepatan bagi memulihkan ekonomi
rakyat tempatan.

“Semua penggiat industri dan peniaga kecil akan menerima impak langsung daripada pengurusan industri pelancongan yang lebih seragam dan
selamat hasil daripada tadbir urus yang berkesan,” katanya.

Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut dengan sembilan daripadanya penyokong kerajaan dan 14 pembangkang.

Pengundian RUU tersebut akan dilakukan secara undian suara majoriti semasa Persidangan Dewan Negeri esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya