SHAH ALAM: Isu kos sara hidup, kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan perniagaan, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) serta pemotongan subsidi elektrik didakwa menjadi sandaran rakyat membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut disedari rakyat dan diyakini memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk lebih mendapat perhatian rakyat khususnya di Selangor.
Menurutnya, rakyat terutama di negeri ini berdepan dengan masalah ekonomi dan diyakini akan memberikan mandat kepada PN untuk membuat perubahan terhadap dasar di peringkat kerajaan negeri.
“Namun, agak malang sekali harapan itu menjadi sia-sia nampak sangat kerajaan pusat tidak berupaya hendak membuktikan kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam bidang ekonomi.
“Harga barang masih melambung naik, kos sara hidup tidak dapat diurus menjamin masa depan lebih selamat, apatah lagi masalah inflasi yang masih terus dihadapi pada hari ini. Tidak nampak satu pun inisiatif konkrit dan jitu yang dapat dilakukan untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya di Selangor,” katanya ketika berucap pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri PN, malam tadi.
Malah, dalam ucapan sama beliau turut menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya yang tidak menunaikan janji dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak meskipun pemimpin mereka kini mengetuai kerajaan.
“Masalah OPR yang meningkat selalu, masalah subsidi elektrik yang sekarang ini sudah dipotong menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi.
“Janji untuk menghapuskan tol sampai hari pun ini tidak dapat dilaksanakan. Apa lagi janji yang mereka buat waktu berkempen pada PRU15 untuk menurunkan harga minyak, sampai hari ini habuk pun tak ada, apalah mereka boleh berjanji tetapi tak dapat tunaikan. Cakap tak serupa bikin,” selarnya.
Terdahulu, Pengerusi PN itu memaklumkan puluhan ribu didakwa hadir pada majlis tersebut sekaligus menjadi manifestasi daripada rakyat khususnya di negeri ini terhadap sokongan partinya untuk berdepan PRN nanti. – UTUSAN