Kerajaan lulus penerbangan sewa khas

Kerajaan lulus penerbangan sewa khas

ANWAR Ibrahim diiringi Tiong King Sing beramah mesra dengan warga MOTAC ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka MOTAC di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memberikan kelulusan segera penerbangan sewa khas (chartered flight) bagi memudahkan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan berkaitan perkara tersebut telah dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Soal teknikal (menteri) minta visa apa semua, saya dah bincang dengan MDN (Menteri Dalam Negeri), MDN kata kalau peringkat awal yang kita boleh luluskan segera (adalah) chartered flight.

“Yang lain kita tengok perkembangannya, tetapi ia selaras dengan dasar kita (iaitu) ‘ease of doing business’.

“Apa tindakan yang boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia, tindakan yang sesuai harus kita beri pertimbangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini hari ini.

Pada Februari lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi hantaran di Facebooknya mencadangkan syarikat penerbangan tempatan untuk membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik dan memudahkan kedatangan pelancong ke negara ini.

Menurut beliau, tindakan itu bertujuan memastikan lonjakan pelancong asing ke negara ini dapat dipertingkatkan.

“Saya ucap tahniah (kerana) dalam tempoh enam bulan kita nampak satu lonjakan kehadiran pelancong-pelancong ke dalam negara kita.

“Dalam strategi pembangunan negara, MOTAC ini dianggap penting kerana ia adalah aspek penting dalam industri servis dan boleh meningkatkan pendapatan negara,” ujarnya.

Sementara itu, King Sing menerusi ucapannya berkata, pada tiga bulan pertama tahun ini, seramai 4.38 juta pelancong antarabangsa dicatatkan masuk ke negara ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 178,150 orang adalah pelancong China iaitu 45,317 orang pada Januari, manakala 49,782 dan 83,051 pelancong masing-masing pada Februari serta Mac.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk promosi Malaysia di dunia terutama China yang membantu dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya minta Menteri Dalam Negeri mudahkan urusan visa pelancong asing yang mahu masuk (ke negara ini) dari seluruh dunia. Kepada Perdana Menteri, saya nak minta jangan lupa MOTAC, kita nak minta (jika) ada peluang untuk duduk berbincang bagi naik taraf (MOTAC) dan sedikit peruntukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya