Kerajaan buat penyusunan semula Agensi Penggalakan Pelaburan

Kerajaan buat penyusunan semula Agensi Penggalakan Pelaburan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara akan ditambah baik untuk melaksanakan inisiatif bagi menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.

Kata beliau, ia juga memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.

“Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa dalam usaha menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri sebagai usaha menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan juga domestik (DDI).

MPN bertanggungjawab menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, MPN bersetuju memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

Jelas beliau, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas.

Ini termasuk menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudah cara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.

“Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula landskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur,” katanya.

Mesyuarat MPN pertama itu juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding dengan S1 2022 (RM44.7 bilion) merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan.

“Sehubungan itu, MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.

“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya