Kenal pasti segera kanak-kanak mudah terjejas, atasi ketidakpastian sistem pendidikan

Kenal pasti segera kanak-kanak mudah terjejas, atasi ketidakpastian sistem pendidikan

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu segera mengenal pasti kanak-kanak yang dianggap kumpulan terjejas ekoran keadaan yang menyebabkan sistem persekolahan mereka terganggu sehingga boleh ketinggalan. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan keciciran anak-anak yang mudah terjejas khususnya kumpulan rentan semakin melebar. 

Katanya, ini kerana apa yang diamalkan 20 atau 30 tahun lalu tidak boleh dianggap akan menjadi sangat stabil pada waktu ini. 

Sebagai contohnya, katanya, negara pernah berhadapan dengan situasi banjir, pandemik Covid-19 dan cuaca panas pada masa kini yang mempengaruhi pendidikan dalam kalangan anak-anak. 

“Sekiranya kita masih mengekalkan kaedah atau cara lama dalam menguruskan pendidikan, kita pasti pada masa akan datang, akan ada lagi beberapa keadaan yang tidak pasti ini. 

“Maka, akhirnya kita akan berhadapan dengan suatu keadaan di mana secara berterusan anak-anak kita akan ‘terancam’ atau ‘tergugat sistem persekolahannya. 

“Oleh itu, kementerian mesti memberi perhatian penuh kepada kumpulan ini, mesti ada sistem data kanak-kanak yang dianggap kumpulan terjejas apabila berlaku keadaan yang menyebabkan sistem persekolahan terganggu,” katanya menerusi rakaman video di Facebook. 

Bagaimanapun, beliau percaya, semua pihak terutama kementerian sendiri tahu dan sedar betapa pentingnya menyesuaikan dengan perubahan ketidakpastian yang berlaku itu. 

Namun, katanya, sistem itu tetap perlu menjadi satu keutamaan supaya pelajar murid sekolah tidak terbahagi kepada dua kelompok nanti. 

“Pertamanya, murid yang tidak mudah rentan boleh meneruskan pendidikan atau persekolahan dengan baik kerana datang dari keluarga mampu untuk menangani isu-isu ketidakpastian ini. 

“Tetapi murid-murid miskin dan di kawasan pedalaman, mereka ini akan segera tergugat akibat ketidaktentuan sama ada dari sudut ekonomi, politik, perubahan iklim atau dasar-dasar pendidikan,” katanya. 

Justeru, katanya, sistem pendidikan kebangsaan mestilah memberi perhatian kepada kumpulan paling mudah rentan supaya tidak menyebabkan jurang pendidikan semakin melebar jika mereka terjejas. 

Pada masa sama, katanya, segala dasar yang mahu dilaksanakan juga perlu dibuat dengan berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan kumpulan murid itu akan mudah rentan. 

“Contoh dasar pendidikan yang memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), ibu bapa yang mempunyai aspirasi yang tinggi kepada pendidikan akan beri perhatian sepenuhnya supaya anak mereka mendapat pendidikan terbaik tanpa ambil kira sama ada terdapat peperiksaan utama atau tidak. 

“Tetapi, kita dapati bahawa ada kumpulan anak-anak dalam kalangan keluarga miskin, apabila tidak ada UPSR dan PT3, ada ibu bapa yang mula meringankan perhatian mereka terhadap anak-anak. 

“Jadi, sesuatu dasar yang kita buat itu boleh menyebabkan kumpulan murid itu akan mudah rentan termasuk dasar yang tidak inklusif,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya