Kemas sasar 100,000 huffaz menjelang 2026

Kemas sasar 100,000 huffaz menjelang 2026

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan pelajar Tabika Kemas di KKDW Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasarkan 100,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) akan menjadi ‘huffaz cilik’ dalam masa tiga tahun.

Inisiatif baharu dikenali sebagai Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas itu bakal dilaksanakan pada Julai depan dengan kerjasama Yayasan Pahang selaku rakan strategik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia merupakan nilai tambah bagi modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) di bawah agensi itu bagi menanam minat anak-anak menghafal dan mencintai al-Quran dalam usia muda sebagai persiapan sebelum masuk tahun satu sekolah.

Beliau berkata, Yayasan Pahang membantu Kemas dari aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, perkongsian teknik hafazan terbaik, pemantauan dan latihan.

“Program ini bahkan turut memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah serta pengajian al-Quran bersifat kontemporari,” katanya ketika menyertai sesi libat urus Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas Bersama Masyarakat 2023, di sini hari ini.

Beliau malah optimis pelaksanaan program ini cukup efektif kerana murid akan menguasai hafazan surah lazim Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab serta Tadabbur.

Apatah lagi jelas Ahmad Zahid, program baharu Kemas itu juga menggabungkan elemen 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.

Agensi itu katanya, turut menyasarkan lebih 1,500 murid mampu menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha sebelum ke tahun satu menjelang akhir sesi persekolahan pada tahun ini.

Bilangan tersebut akan bertambah secara berperingkat meliputi 4,000 kelas pada tahun depan, manakala 3,000 kelas pada 2025 dan kesemua Tabika Kemas pada 2026 kelak.

Tambahan pula ujarnya, imej tabika Kemas amat diyakini rakyat negara ini bahkan meraih Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest pada 2017, 2020, 2022 dan terkini, 2023 berdasarkan undian atas talian majalah antarabangsa itu melibatkan hampir 8,000 responden mengenai sistem pendidikan pra-sekolah di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya