BUKIT MERTAJAM: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengubati kesedihan pasangan pengantin yang baru kehilangan ibu di Kampung Pelet, di sini hari ini.
Beliau yang ditemani isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di majlis berkenaan pukul 4.20 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah-mesra bersama pasangan pengantin dan penduduk setempat.
Kehadiran Anwar dan isteri disambut pasangan pengantin, Mohammad Farhan Mohd. Nor, 29, dan Nurul Fatienul Ain Mazlan, 26.
Mohammad Farhan berkata, ibunya, Sabariah Daud, 54, meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi semalam akibat kegagalan buah pinggang.
“Sejujurnya, memang tidak sangka PM akan datang dan terkejut sebab beliau sudi menghadiri majlis kami yang tidak seberapa ini.
“Arwah ibu memang ada menghantar undangan perkahwinan, cuma itulah, perasaan memang bercampur-baur dengan gembira dan sedih apatah lagi arwah ibu tidak sempat bertemu dengan PM hari ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PM dan isteri kerana sudi hadir ke majlis perkahwinan ini dan kami berdua amat menghargainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Majlis akad nikah pasangan terbabit berlangsung pada 29 April lalu. – UTUSAN