PUTRAJAYA: Tiada lagi subsidi tarif elektrik bagi kediaman yang menggunakan bekalan elektrik yang tinggi pada masa depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kediamaan yang dikategorikan sebagai ‘penggunaan elektrik tinggi’ tidak seharusnya menikmati subsidi tarif elektrik disediakan kerajaan.
“Ini bermakna B40 dan M40 masih kekal tiada kenaikan (tarif elektrik), namun kediaman yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.
“Mereka kena faham, memang benar tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, namun bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini hari ini.
Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mekanisma khusus bagi pelaksanaan kadar tarif elektrik berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dijangka mengkaji semula subsidi kadar tarif elektrik bagi golongan T20 di negara ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kategori T20 itu dilihat mampu untuk membayar tarif yang lebih kompetitif (harga pasaran) bagi memastikan hanya golongan sasar yang layak memperoleh manfaat subsidi kadar tarif elektrik itu.
Tahun lalu, kerajaan memutuskan, tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj. – UTUSAN