Kedah, Perlis muktamad perjanjian sempadan

Kedah, Perlis muktamad perjanjian sempadan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (duduk, tengah) bersama Mohd. Shukri Ramli (duduk, kanan) menandatangani dokumen bagi memuktamadkan perjanjian sempadan darat dan maritim Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah dan Perlis mencatat sejarah sebagai negeri pertama memuktamadkan perjanjian sempadan setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Menerima Hasil Penandaan dan Pengukuran yang dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Selain itu, kedua-dua negeri yang diwakili menteri besar masing-masing turut menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Kedah Perlis serta Perjanjian Sempadan Maritim yang dianggap signifikan dan penting bagi mengiktiraf sempadan Kedah-Perlis selain memuktamadkan keabsahannya.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, langkah memuktamadkan sempadan itu akan membolehkan kedua-dua negeri membuat perancangan pembangunan yang lebih tepat dan jitu terutamanya di kawasan sempadan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan membolehkan pihak berkuasa negeri masing-masing menguatkuasakan kutipan hasil cukai di kawasan sempadan negeri dengan lebih cekap dan terurus serta mencegah pencerobohan tanah serta penerokaan sumber tidak sah.

“Melalui usaha ini, saya percaya Kedah dan Perlis akan menerima manfaat secara bersama dari segi pembangunan, limpahan ekonomi, kutipan hasil serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjanjian itu di Wisma Darul Aman, hari ini.

Hasil kerja-kerja penandaan dan pengukuran itu, keseluruhan sempadan Kedah dan Perlis bagi kawasan darat adalah sepanjang 44.3 kilometer (KM) berbanding anggaran asal iaitu 41.5KM sebelum ini.

Sempadan maritim pula ditetapkan sepanjang 5.6KM atau tiga batu nautika yang terlebih dahulu ditandatangani pada 27 September tahun lalu secara bersama oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Galian kedua-dua negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut akan mampu menyelesaikan beberapa isu teknikal berkaitan sempadan kedua-dua negeri sebelum ini.

Selain itu katanya, Kedah amat memerlukan sokongan kerjasama dan kepakaran Jupem untuk menyelesaikan persempadanan antara negeri itu dengan negeri-negeri berjiran lain seperti Perak.

“Saya percaya khidmat nasihat ehwal persempadanan, kepakaran, penggunaan teknologi pengukuran terkini serta penyelidikan dokumen arkib sejarah persempadanan negeri yang dilaksanakan Jupem akan dapat selesaikan serta melancarkan rundingan semua persempadanan negeri terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sedang menanti keputusan daripada Jupem sekiranya terdapat asas untuk menentusahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri berjiran yang lain.

“Yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya dan tak ada sempadan dengan mereka tetapi dengan Perak, sempadannya mungkin ada. Bukan nak ambil balik dan bukan ada (negeri) terlepas apa pun, tetapi (Pulau Pinang) memang hak kita,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya