ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak atau individu sebagai ejen berkaitan permohonan perumahan di bawah kendalian mereka di Kubang Pasu dan Baling.
Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamarudin Abd. Akib berkata, pihaknya mengesan aktiviti menjual borang permohonan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi rumah di Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Binjal, Kubang Pasu dan PPD Batu 42, Pulai, Baling.
“Kita dapat maklumat ada pihak yang menjual borang permohonan untuk menduduki perumahan di kedua-dua PPD ini. Sedangkan KEDA masih belum mengeluarkan borang tawaran.
“Jadi saya nak minta orang ramai jika ada pihak yang mendekati mereka menjual borang seperti ini, abaikan. Borang ini sebenarnya akan diberi percuma namun mereka yang terlibat menjualnya sehingga RM30 setiap satu dan sudah ada yang membelinya. Setakat ini dipercayai sudah 50 borang dikesan palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Kompleks KEDA di sini hari ini.
Menurut Kamarudin, KEDA akan mengeluarkan borang tawaran tersebut dalam masa terdekat yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti kod QR bagi mengelak sebarang tindakan memalsukan borang itu.
“Kita akan maklumkan tarikhnya dalam masa terdekat. Sebarang maklumat boleh menghubungi pejabat KEDA dan borang-borang yang diberikan percuma ini juga hanya boleh diperoleh di pejabat KEDA sahaja bukan melalui pihak lain.
“Pada masa yang sama kita juga akan bermesyuarat menetapkan harga rumah-rumah berkenaan yang mendapat subsidi daripada kerajaan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KEDA memperoleh peruntukan lebih RM62 juta bagi melaksanakan 30 projek termasuk prasarana, ekonomi, pertanian, modal insan dan usahawan sepanjang tahun ini. –UTUSAN