Kastam uji keberkesanan e-seal banteras aktiviti penyeludupan - Utusan Malaysia

Kastam uji keberkesanan e-seal banteras aktiviti penyeludupan

AHMAD Maslan bersalaman dengan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam proses mengkaji dan menguji keberkesanan penggunaan teknologi peranti baharu, e-seal bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori-lori perdaga­ngan sekali gus membanteras aktiviti penyeludupan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, teknologi peranti yang dibangunkan oleh kepakaran tempatan itu akan menggantikan penggunaan sil timah (lead seal) yang digunakan selama ini di setiap kontena.

Menurut beliau, peranti berkenaan diguna pakai secara meluas di negara-negara Afrika seperti Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Congo.

“Pelaksanaan e-seal di negara-negara tersebut meningkatkan kutipan cukai mereka sebanyak 20 peratus dan kita harap dengan penggunaan teknologi baharu itu di negara ini, pungutan hasil negara juga akan bertambah 20 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini semalam.

Ahmad berkata, jika pihak kastam melaksanakan e-seal, ia bukan sahaja dapat mening­katkan keselamatan malah mening­katkan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori.

Jelasnya, teknologi berkenaan dapat memastikan barangan dagangan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya selain maklumat pergerakan dipantau pusat kawalan.

“Sebagai contoh kalau kontena tersebut dari Pelabuhan Klang menuju ke Bukit Kayu Hitam dengan membawa bara­ngan yang telah diisytiharkan, tetapi mereka singgah di satu lokasi selama dua jam dan ganti barangan tersebut.

“Tiada cara untuk kita ketahui kontena berkenaan sudah berhenti selama dua jam dan menukar barangan di dalamnya. Jadi dengan penggunaan e-seal ini kita dapat kesan pergerakan kontena dan sekiranya mereka berhenti terlalu lama ada pegawai bertugas yang akan segera ke lokasi tersebut,” jelasnya.

Ditanya mengenai pelaksa­naan teknologi tersebut, Ahmad memaklumkan, projek perintis membabitkan beberapa syarikat di Gelang Patah, Johor sudah dijalankan untuk tempoh beberapa minggu bagi melihat pergerakan transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya