Kastam serah laporan kes rampasan heroin di Australia kepada PM - Utusan Malaysia

Kastam serah laporan kes rampasan heroin di Australia kepada PM

ZAZULI JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Laporan berhubung kes rampasan heroin bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan bagaimanapun berkata, laporan tersebut belum lengkap kerana pihaknya masih memerlukan maklumat tambahan daripada Pasukan Sempadan Australia (ABF) berhubung kejadian terbabit.

“Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita percaya Malaysia menjadi lokasi transit dadah terbabit sebelum dibawa ke Australia.

“Pihak ABF perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian berkaitan di negara berkenaan sebelum memberikan sebarang maklumat kepada kita.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, dadah berkenaan dibawa dari negara segi tiga emas (Golden Triangle) dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh berkaitan rampasan heroin yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia.

Anwar mahu laporan bagaimana perkara itu berlaku dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan.

Terdahulu, PDRM mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN