Kami ingat orang akan kecam – Dem Lepak Boyz - Utusan Malaysia

Kami ingat orang akan kecam – Dem Lepak Boyz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUO berbakat besar, Dem Lepak Boyz tidak menyangka single kedua mereka, Jerat, diterima baik peminat muzik tempatan. 

Sebelum lagu itu diperdengarkan kepada umum, Ahmad Zaidyansjah Ruddyansjah atau Zaidy dan Meor Aiman Mukhris Mohd. Sabri (Hazel) yakin, yang bakal mereka hadap bukan pujian, sebaliknya kutukan gara-gara penampilan dan konsep yang diketengahkan dalam lagu berkenaan tak ubah seperti artis K-Pop. 

Ternyata meleset sangkaan mereka. Sukar percaya, dua rakan baik itu terkejut dengan respons penonton. 

Ramai menyukai dan melayangkan pujian terhadap lagu tersebut yang kini merekodkan jumlah tontonan sehingga 20,000 di Youtube. 

“Awalnya, kami ingat orang akan kecam sebab konsep dan penampilan dalam muzik video tersebut menyamai artis K-Pop. Jujurnya, kami awal lagi sudah bersedia menghadapi respons begitu. Sekurang-kurangnya, orang bercakap tentangnya. 

“Sangkaan kami meleset. Jerat terima reaksi positif. Adalah satu dua yang tak suka. Selebihnya, menyambut baik.

“Keadaan ini membuka mata sebenarnya. Pendengar kita ramai yang sudah terbuka, memahami bahawa tiada istilah tiru meniru dalam muzik dan tarian kerana dua perkara itu bersifat universal dan sebagai penyanyi, kita saling terinspirasi dengan yang lain,” kata Zaidy. 

Mengenangkan permulaan sukar, Dem Lepak Boyz gigih menempa nama. Mereka akui jalan yang dilalui ada tinggi rendahnya. Tetapi Zaidy dan Hazel percaya tiada yang mustahil kalau mereka bekerja keras. 

“Bila dikenang semula permulaan kami, memang susah. Selepas menang tempat kedua rancangan All Together Now Malaysia musim pertama, kami bergerak sendiri tanpa pengurus.

“Agak struggle juga waktu itu, susah nak pilih label. Tawaran yang datang memang banyak, tapi tak mudah untuk kami pilih sebab kami mahukan yang terbaik. 

“Bila dapat label, awalnya sukar pula nak bergerak. Sehinggalah pengurusan bertukar tangan, baru ada perkembangan. Selepas itulah single pertama, Abang Datang dikeluarkan dan seterusnya, Jerat,” kata Hazel.

BIG STAGE 

Pada tahun-tahun sudah, dua sahabat baik ini hanya mampu menyimpan angan-angan untuk menyertai pertandingan Big Stage. 

Namun tahun ini angan-angan mereka bertukar kenyataan. Siapa sangka, rancangan popular yang ditayangkan di Astro Ria itu akhirnya berubah format, membuka pintu buat pasangan duo budak-budak baru nak up (BBNU) seperti Dem Lepak Boyz untuk menyinar. 

“Memang kami bercita-cita masuk Big Stage dari dulu. Cuma sebelum ini mustahil kerana yang sertai hanya penyanyi solo. Sekarang baru berpeluang. 

“Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki. Harapnya kami kekal sampai peringkat akhir,” kata Hazel.

Pantas Hady memetik nama peserta asal Korea, Hoondoo selepas ditanya tentang persaingan dalam Big Stage. Dia mengakui, duo tersebut merupakan pencabar terdekat yang menyerlah. 

“Dem Lepak Boyz pasti dibanding-bandingkan dengan mereka kerana kami sahajalah kumpulan duo yang menyertai pertandingan ini,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Hazel berkata, impak penyertaan Big Stage yang diterima Dem Lepak Boys menjadikan mereka semakin dikenali menerusi program itu. 

“Masih ramai yang tak kenal kami. Tapi pengikut kami di Instagram dan Telegram bertambah. Mungkin penangan masuk Big Stage. 

Exposure yang kami terima tidaklah berlaku cepat, bagaimanapun peningkatan itu ketara. 

“Setiap hari ada peminat baru yang berminat mengenali kami. Alhamdulillah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya