Kalau tak boleh berjalan, saya bagi arwah watak duduk - Utusan Malaysia

Kalau tak boleh berjalan, saya bagi arwah watak duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Penerbit Datuk Yusof Haslam melarang produksinya, Skop Production Sdn. Bhd. menggantikan Allahyarham Ridzuan Hashim dengan pelakon lain dalam drama terbitannya.

Menurut Yusof, 69, walaupun kesihatan Ridzuan dilihat semakin merosot semasa penggambaran drama Kuasa dan kerap ulang-alik ke hospital untuk tujuan pemeriksaan, namun semangatnya untuk melunaskan amanah sebagai pelakon masih berkobar-kobar.

“Waktu itu dia sudah tidak sihat. Saya tanya bolehkah dia berlakon dalam keadaan begitu, dia kata okay sahaja sambil peluk saya.

“Selama ini dia tak pernah peluk saya. Tapi hari itu dia peluk saya dan ucap terima kasih. Saya tahu semangatnya kuat sebagai seorang pelakon yang juga ingin mencari rezeki.

“Melihat keadaannya yang kurang sihat, anak saya cadangkan agar Ridzuan digantikan dengan pelakon lain. Saya kata jangan, teruskan ambil dia berlakon. Kalau dia tidak boleh berjalan, kita beri watak berdiri atau duduk. Ikut kemampuan dia,” katanya.

Yusof berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, semalam.

Bukan itu sahaja, sejak produksi Skop Production ditubuhkan pada tahun 1985, Allahyarham sudah berlakon dalam pelbagai naskhah terbitan syarikat itu termasuklah filem KL Gangster 1 dan KL Gangster 2 yang membuatkan Ridzuan diingati dengan watak ‘King.’

“Kadang saya selalu juga melawat anak saya di set penggambaran KL Gangster. Allahyarham adalah seorang yang sangat berdisiplin dan menepati masa. Cadangnya kalau jadi KL Gangster 3, kami memang rancang nak ambil dia berlakon. Namun Allah lebih menyayanginya,” kata Yusof.

Tidak dapat menahan sebak, penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman Festival Filem Malaysia ke-29 itu mengalirkan air mata tersentuh mengenangkan satu demi satu rakan seperjuangannya sudah kembali menghadap Illahi seperti Latif Ibrahim, Zulkifli Zain dan Aman Shah.

“Saya sudah berusia 69 tahun. Ramai rakan-rakan saya yang sudah pergi menghadap Illahi.

“Giliran kita, tak tahu lagi bila. Saya harap rakan-rakan yang masih ada dan sihat, kita teruskanlah perjuangan,” katanya.

Terdahulu, Ridzuan dilaporkan rebah di rumahnya di Bandar Tun Razak ketika sedang bersarapan dengan anaknya sekitar jam 11 hingga 12 tengahari semalam.

Allahyarham kemudian digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor selepas solat Maghrib.

Semasa hayatnya Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Bukan itu sahaja, Ridzuan juga pernah bekerja dengan produksi antarabangsa menerusi filem Don 2 bersama-sama Shah Rukh Khan dan filem Love & Death on Java oleh sebuah produksi dari Jerman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya