PETALING JAYA: “Perkahwinan ini berbalik kepada niat. Saya niat untuk anak-anak dan keluarga.”
Demikian jawapan penyampai radio dan usahawan, Shuib apabila ditanya berhubung pertunangannya dengan wanita pilihan, Watie Hanifiah baru-baru ini.
Jelas Shuib, dia kembali berniat berumah tangga adalah demi anak-anak sementelah mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu.
“Saya tahu tugas bapa berat dan tanggungjawab itu tidak mudah. Anak-anak saya masih kecil. Perkara ini juga tidak mudah bagi saya.
“Perkahwinan ini untuk anak-anak, saya memilih untuk mereka. Kalau saya pilih diri sendiri, saya akan terus menduda.
“Saya ada tanggungjawab yang cukup besar sebab Allahyarham Siti Sarah mahu saya besarkan anak-anak dengan cara dan jalan paling baik. Saya perlukan seseorang bersama saya,” katanya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfiiri Indigital Music dan FYP Media semalam.
Pelawak itu baru-baru ini mengumumkan pertunangan dengan Watie dan mendedahkan akan melangsungkan pernikahan 23 Jun depan.
Dalam pada itu, Shuib berkata, dia sudah menjelaskan dan mendapatkan persetujuan anak-anak serta keluarga termasuk bekas bapa mertuanya, Raisuddin Hamzah.
“Perkara seperti ini ada prosesnya. Walaupun anak-anak masih kecil tetapi saya tetap berbincang dan menjelaskan setiap keputusan. Apa-apa, saya tanya mereka dahulu.
“Proses itu lama sampailah saya berani cakap mahu berkahwin. Walaupun saya tidak tahu sedalam mana pemahaman mereka, tetapi saya tetap akan bagitau.
“Uwais adalah yang terakhir yang memberi persetujuan. Bila dia setuju, baru saya teruskan niat untuk berkahwin,” ujarnya.