SETIU: Seorang jurujual sebuah pasar raya dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah gagal menghadiri kes sebutan pertuduhan menghantar video lucah kepada bekas kekasihnya, hari ini.
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud mengeluarkan waran selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman.
Menurut Siti Hajar, Muhammad Iqyyum Basri, 25, yang juga Orang Kena Saman (OKS) yang beralamat di Senawang, Negeri Sembilan tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Katanya, surat saman terhadap Muhammad Iqyyum telah dikeluarkan pihaknya pada 18 Mei lalu bagi memaklumkan prosiding pendengaran kes berkenaan.
“Bagaimanapun, lelaki itu gagal dihubungi sejak semalam dan hari ini menyebabkan kami memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS,” katanya yang ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, OKS didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi secara sedar iaitu video bersifat lucah dengan niat menyakiti hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp.
Klip video itu telah dilihat di Bandar Permaisuri dekat sini, pada 8 Mac tahun lalu kira-kira pukul 8.24 malam.
OKS didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, OKS berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-dua sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN