LANGKAWI: Cuti Hari Raya Aidilfitri dan cuti hujung minggu yang panjang sempena Hari Pekerja diambil kesempatan oleh pelancong untuk berkunjung ke pulau peranginan ini.
Bagaimanapun tinjauan di sekitar Pantai Chenang dan beberapa lokasi tumpuan lain sepanjang tempoh itu mendapati, kebanyakan premis perniagaan yang berada di laluan utama pelancong menerima kedatangan pengunjung yang sederhana.
Pemilik restoran Bamboo Cenang di Dataran Pantai Chenang, Salina Che Isa, 35, berkata, dia baru sahaja membuka kedainya pada Sabtu lalu dan menerima ramai pelanggan yang terdiri daripada pelancong.
“Masih banyak kedai makan lain yang belum dibuka sehingga kini, malah kami pula satu-satunya restoran yang menjual makanan laut di dataran ini.
“Jadi kami menerima kehadiran ramai pelanggan apabila restoran mula dibuka pada pukul 12.30 tengah hari sehinggalah lewat malam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagi seorang pekerja kedai pakaian di Jalan Pantai Chenang, Roshaida Rosli, 25, memberitahu, laluan di hadapan kedainya tidak sunyi daripada pelancong yang lalu-lalang.
“Kalau berdasarkan hasil jualan sejak kedai dibuka pada 27 April lalu, kami juga mendapat jumlah pelanggan yang agak baik.
“Walaupun jumlah pengunjung tidaklah ramai sehingga padat seperti sebelum ini, tetapi laluan ini tidak pernah sunyi daripada kedatangan pelancong sama ada dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, pendapat berbeza diutarakan seorang lagi pekerja kedai pakaian di Dataran Chenang, Alif Nasir, 20, yang telah mula membuka kedai selama seminggu sejak hari raya ketiga pada Isnin lalu.
“Pelancong ada, tapi tidak semeriah biasa yang kita boleh lihat seperti sebelum-sebelum ini, walaupun cuti kali ini juga agak panjang. Kedai pun tidak ramai pelanggan, walaupun ada pelancong yang lalu-lalang,” jelasnya. – UTUSAN