PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak pilih kasih terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar undang-undang jalan raya termasuklah penunggang motosikal ‘kapcai’ atau berkuasa tinggi.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka di bawah peruntukan ditetapkan.
“Justeru, kita menyangkal kenyataan pempengaruh, Caprice yang mendakwa penunggang motosikal berkuasa tinggi atau Ducati tidak diambil tindakan oleh pihak polis. Ia salah dan tidak benar.
“Untuk makluman, dua kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Selangor berkait dua kejadian berasingan melibatkan penunggang berkuasa tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dalam proses akhir sebelum mendapat keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Selain itu, jelas beliau, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap penunggang ‘superbike’ yang tidak memakai topi keledar apabila videonya tular di media sosial.
“JSPT sentiasa memastikan siasatan yang adil dan telus tidak kira latar belakang mereka yang melakukan kesalahan.
“Justeru, orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar. Kita juga mengalukan-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan pelanggaran undang-undang jalan raya disalurkan kepada PDRM agar tindakan tegas dapat diambil,” ujarnya.
Semalam, Caprice menerusi Instagramnya mengkritik tindakan polis yang didakwa melindungi penunggang motosikal ‘Ducati’ dan hanya mengenakan tindakan terhadap pengguna motosikal ‘marhaen’.
Dalam hantaran tersebut, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli turut memerli penunggang motosikal ‘kapcai’ yang melakukan aksi ‘wheelie’ di Kelantan kerana melakukan jenayah ‘besar’.
“Kenapa buat jenayah besar, cuba hang (kamu) buat jenayah kecil seperti curi duit berjuta-juta, dera budak kecil.
“Sapa suruh hang naik motosikal kapcai harga RM7,000. Cuba bawa Ducati yang berharga RM200,000.
“Ini budak Ducati tak ada pi mahkamah atau kena kutip sedangkan video dah jelas. Ingat lain kali kalau nak buat jenayah cuba bawa Ducati,” sindirnya. – UTUSAN