KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan membawa isu penduduk Flat Kampung Sungai Baru, di sini pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun ini.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, terdapat penduduk yang berpindah tidak mampu lagi membayar sewa rumah.
Katanya, beliau juga berjanji akan membangkitkan perkara itu bagi menyelesaikan isu penduduk yang sudah berpindah dari premis, namun masih belum mendapatkan rumah.
Johari turut menggesa supaya kerajaan masuk campur urusan berkenaan kerana ia telah berlarutan sehingga menjadi masalah kerajaan.
“Sebanyak 95 peratus penduduk sudah pindah. Jadi, cuma lima peratus belum pindah. Pemaju yang memindahkan mereka ini sudah datang berjumpa saya, merayu dan meminta tolong macam mana mahu mulakan kerja sebab mereka tidak larat bayar sewa sudah lima tahun.
“Oleh kerana mereka gagal mendengar nasihat saya pada 2017 dan 2018, itu sebabnya hari ini mereka berdepan banyak masalah.
“Sekarang, sudah lima tahun projek tidak mula lagi kerana ada lima peratus penduduk tidak pindah, maka mereka tidak boleh buat. Jadi, saranan saya, kerajaan kena masuk campur untuk menyelesaikan kes ini sebelum pemaju ini bankrap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Pintu Gerbang, Kampung Baru, di sini, hari ini.
Johari antara jurucakap yang paling lantang dalam mempertahan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru.
Proses pengambilan tanah telah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – UTUSAN