KEPALA BATAS: Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menyumbangkan dekorasi landskap bagi Taman Terapi bernilai RM20,000 khusus buat kegunaan penghuni Kompleks Darul Hanan di sini.
Ketua Kewangan JKSB, Abd. Razak Abd. Rahman berkata, sumbangan terbabit bakal memberi suasana baharu kepada warga emas yang mahu bersiar-siar mahupun beriadah di pusat berkenaan.
“Seperti tahun-tahun terdahulu, kita sering menjalankan program bantuan menerusi sumbangan barangan keperluan kepada pertubuhan atau rumah jagaan sekitar negeri ini.
“Kali ini kita berbesar hati menyumbang dana lebih RM20,000 untuk merealisasikan Taman Terapi di sini yang mana projek ini dijangka bermula bulan hadapan dan akan siap sepenuhnya menjelang pertengahan Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Meraikan Syawal Bersama Warga Emas di Kompleks Darul Hanan, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Kompleks Darul Hanan, Datuk Dr. Roslan Ahmad dan Datuk Sazali Hussein serta lebih 30 sukarelawan yang juga kakitangan JKSB.
Mengulas lanjut, Abd. Razak berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk memfokuskan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Selain itu, kita mahu terus membantu dalam memberkasakan ilmu pengetahuan serta pembangunan keharmonian komuniti,” katanya. – UTUSAN