SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyediakan 10 kaunter khas imigresen bagi melancarkan pergerakan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kaunter khas itu ditambah bagi memudahkan jemaah haji melalui proses imigresen sebelum berangkat ke Mekah.
Beliau berkata, sebelum ini hanya enam kaunter khas disediakan, namun kali ini empat lagi kaunter ditambah yang akan beroperasi bermula Ahad ini hingga 21 Jun depan.
“Seramai 31 pegawai imigresen akan ditempatkan di kaunter khas itu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pengoperasian kaunter khas itu di KLIA, hari ini.
Katanya, pihak Arab Saudi menyediakan 10 kaunter bagi memastikan kelancaran pergerakan dan pelepasan jemaah.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya memberi jaminan akan memantau perkembangan proses pergerakan jemaah haji dari semasa ke semasa.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 31,600 orang jemaah Haji akan berangkat ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji melalui 102 penerbangan bermula Ahad ini.
Difahamkan, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadual pada awal pagi Ahad.
Pada 12 dan 14 Mei lalu, seramai 670 petugas haji berlepas ke tanah suci meliputi pasukan kebajikan, perubatan, beberapa agensi luar dan media tempatan. – UTUSAN