ALOR SETAR: Setelah beberapa tahun tertangguh, projek naik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini akan dimulakan penghujung tahun ini sebelum dijangka siap sepenuhnya 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tender bagi projek itu akan diiklankan pada 6 Jun ini yang melibatkan kerja meroboh, membina, menaik taraf terminal dan jeti penumpang, kargo serta feri roll-on roll-off (RORO).
“Projek ini adalah demi meningkatkan kecekapan pengoperasian feri penumpang, kargo dan perkhidmatan RORO di laluan marin Kuala Kedah ke Langkawi di mana ia membantu pemulihan industri pelancongan di permata Kedah.
“Skop utama projek melibatkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada hanya 800 penumpang,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan di Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini semalam.
Lawatan itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tambahnya, projek naik taraf itu melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat serta infrastruktur, fasiliti bangunan dan kerja landskap.
Menyentuh kelewatan projek naik taraf itu yang sepatutnya bermula pada 2020, kata Anthony, ia disebabkan isu teknikal selain penularan Covid-19.
“Jeti ini agak usang. Sebenarnya saya pernah sampai ke jeti ini beberapa tahun lalu ketika itu memang ada juga usaha naik taraf dengan Kementerian Pengangkutan melantik juru perunding pada 2020.
“Pada 2020 sehingga kini projek ini sepatutnya sudah berjalan tetapi pelbagai perkara berlaku terutama Covid-19, banyak kerja tertangguh dan apabila tender dibuka pada 2021 ada isu teknikal sebelum Kementerian Kewangan minta kita buka tender semula tahun lalu,” katanya.
Katanya, operasi pengangkutan feri di Kuala Kedah akan dipindahkan sementara ke tapak bersebelahan terminal berkenaan ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan. – UTUSAN