PUTRAJAYA: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, tiba di Everest Base Camp (EBC) kira-kira pukul 9.50 pagi waktu Nepal (sekitar 12 tengah hari waktu Malaysia) sebelum diterbangkan ke hospital di Kathmandu.
ME2023 menerusi kenyataan akhbar berkata, jenazah Awang Askandar selamat tiba di Kem Tiga kira-kira pukul 7 pagi waktu Nepal (sekitar 9 pagi waktu Malaysia) seterusnya di bawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.
Sekretariat ME2023 di EBC turut berkongsi sekeping gambar menunjukkan jenazah Awang Askandar yang berbalut rapi dengan bendera Jalur Gemilang.
Gambar jenazah itu adalah kali pertama didedahkan ME2023 selepas arwah disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat masalah kesihatan ketika misi menakluk puncak tertinggi dunia itu.
Jenazah arwah tidak pernah didedahkan dan dikongsi memandangkan tiada liputan internet terutama di Kem Empat, malah komunikasi hanya dilakukan menerusi walkie talkie.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan malim gunung memikul seorang pendaki yang kononnya disangka Awang Askandar namun, ME2023 menafikan perkara itu. – UTUSAN