KANGAR: Program Jelajah Daya Niaga Francais Zon Utara dijangka bakal menarik potensi 30 francais baharu dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta pada tahun ini.
Sasaran itu dijangka dapat dicapai menerusi 13 syarikat francais tempatan yang turut terlibat sama dalam program berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, program itu merupakan platform terbaik bagi usahawan francais bagi mempromosikan perniagaan mereka dalam bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara.
“Program ini merupakan sinergi kepada inisiatif menangani kos sara hidup di mana ia lebih mengkhususkan bagi meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, tujuan program itu dilaksanakan adalah bagi memberi pendedahan tentang sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini bersama pakej-pakej latihan dan pembiayaan disediakan oleh kerajaan kepada bakal usahawan bidang berkenaan.
Ujar beliau, inisiatif ini diharap dapat menjadikan bidang francais sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif bagi tahun 2023.
“Francais telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi, daya saing, pendapatan individu dan mengatasi masalah kemiskinan melalui kewujudan peluang pekerjaan baharu dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,”katanya.
Selain itu, beliau berkata, program yang julung kali dilaksanakan itu juga adalah merupakan penambahbaikan daripada inisiatif Franchise Bay sebelum ini.
Tambahnya, sehingga 31 Mac 2023, sejumlah 693 francais telah berdaftar di Malaysia membabitkan 58 peratus jenama francais tempatan, manakala selebihnya adalah francais asing.
“Malah sehingga kini, sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara antaranya seperti Marrybrown, Tealive, Global Art, Smart Reader Kids, Aloha Mental Arithmetic, Genius Aulad dan banyak lagi,” katanya.-UTUSAN